Monday, March 9, 2009

Kalah Lagi...

Super Dan terlalu liat

LEE Chong Wei gagal membawa balik gelaran Seluruh England selepas tewas kepada pemain China, Lin Dan pada perlawanan akhir di National Indoor Arena, Birmingham, semalam. - AP


KUALA LUMPUR - Episod duka sukan negara berterusan apabila giliran Datuk Lee Chong Wei pula kecundang kepada musuh tradisinya, Lin Dan pada perlawanan akhir badminton Seluruh England di Birmingham, semalam.
Kelmarin, Datuk Nicol Ann David tewas dalam perlawanan akhir Terbuka Kuala Lumpur sekali gus mencatat sejarah tidak sampai 24 jam dua pemain rangking teratas dunia tumbang dalam acara yang berbeza.
Lin Dan yang turun berbekalkan gelaran Olimpik dan juara Dunia langsung tidak memberi ruang kepada Chong Wei dengan mencatatkan kemenangan straight set 21-19, 21-12 di National Indoor Arena, Birmingham.
Pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu seakan-akan sudah mengetahui nasibnya ke atas pemain nombor dua dunia itu apabila turun dengan kurang bersemangat dan sering melakukan kesilapan mudah, walaupun ada ketikanya memberikan tentangan sengit dalam set pertama.
Aksi set pertama memperlihatkan Chong Wei bermula dengan kurang yakin apabila membenarkan Lin Dan melakukan mengutip mata demi mata tatkala dia cuba bangkit selepas ketinggalan 12-16.
Walaupun mendahului 19-17 Chong Wei tidak mengambil kesempatan, sebaliknya kerap kali membuat pukulan lambung sekali gus membenarkan pemain yang digelar 'Super Dan' itu melakukan pukulan kencang sekali gus memenangi set pertama 21-19.
Usaha Chong Wei untuk bangkit di set kedua juga tidak kesampaian walaupun dia tidak membenarkan Lin Dan meninggalkan mata dengan terlalu jauh, namun pada kedudukan 12-16 pemain tangan kidal itu terus memungut mata demi mata untuk menang 21-12.
Kekalahan tersebut melebarkan lagi jurang antara kedua-dua pemain dengan Lin Dan mencatatkan 11 kemenangan ke atas Chong Wei, sementara Chong Wei pula hanya menewaskan pemain China itu sebanyak tiga kali.
Kali terakhir kedua-dua pemain itu bertemu ialah di Siri Super Terbuka China tahun lalu yang menyaksikan Chong Wei tewas 21-18, 21-19.
Kejuaraan tersebut ialah yang keempat buat Lin Dan di Seluruh England selepas menjuarainya pada 2004, 2006 dan 2007, bagaimanapun dia tewas kepada rakan senegara Chen Jin 22-20, 25-23 tahun lalu.
Kali terakhir pemain perseorangan lelaki negara menjuarai Seluruh England ialah pada 2003 melalui Mu hammad Hafiz Hashim yang menewaskan pemain China, Chen Hong 17-14, 15-10.
Pada 2007 gandingan beregu negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menewaskan beregu China, Cai Yun-Fu Haifeng 21-15, 21-18 pada kejohanan tersebut.
Bagaimanapun, kali ini hanya Chong Wei sahaja berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir manakala dua beregu negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari tersungkur di suku akhir.
NOTA SEMPOI : Yer, seperti yang sudah ku jangka semalam.. Datuk Lee tewas lagi...

No comments:

Post a Comment